Thursday, March 8, 2007

Tahun Melawat Malaysia 2007

KUALA LUMPUR, 1 Jan (Bernama) -- Tahun 2007 secara rasmi diisytiharkan sebagai Tahun Melawat Malaysia dalam acara dengan penuh meriah diiringi pertunjukan bunga api serta konsert berwarna-warni yang memaparkan kepelbagaian budaya negara.

Perisytiharan itu disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dataran Merdeka di sini Sabtu malam yang disertai kira-kira 100,000 rakyat Malaysia daripada segenap lapisan masyarakat sejurus sebelum tengah malam.Tahun Melawat Malaysia 2007 dijangka meningkatkan jumlah ketibaan pelancong ke negara ini daripada 15 juta orang ketika ini kepada 20 juta pada 2007.

Negara meletakkan sasaran untuk menarik kira-kira 17.3 juta pelancong tahun ini (2006).Edisi ketiga Tahun Melawat Malaysia pada 2007, selepas 1990 dan 1994, dianggap istimewa kerana serentak dengan ulang tahun ke-50 kemerdekaan Malaysia.Selain melancarkan Tahun Melawat Malaysia 2007, Timbalan Perdana Menteri turut melancarkan logo kempen itu dan turut sama mengira detik menjelang tibanya tahun baru 2006 bersama beribu-ribu orang yang mula membanjiri Dataran Merdeka sejak 6 petang.Dalam ucapan ringkas semasa melancarkannya, Najib berkata keputusan untuk menganjurkan Tahun Melawat Malaysia adalah keputusan Kabinet di samping merayakan 50 tahun kemerdekaan negara.

"Melalui program ini juga kita berharap dapat menunjukkan Malaysia yang moden kepada mata dunia," katanya.Selain itu, Najib berkata program itu diyakini akan dapat mengeratkan lagi perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan rakyat untuk turut dinikmati oleh pelancong luar yang datang.

Tahun Melawat Malaysia, kata Najib, akan menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan masyarakat bahawa promosi Tahun Melawat Malaysia adalah tanggungjawab bersama semua rakyat Malaysia bukan kerajaan semata-mata.Menteri Pelancongan Datuk Dr Leo Michael Toyad, yang turut hadir pada majlis itu berkata kementeriannya secara agresif akan memasar dan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan antarabangsa yang utama tahun ini.Beliau berkata dengan 2007 diisytiharkan sebagai Tahun Melawat Malaysia, kerajaan yakin dapat mencapai sasaran yang ditetapkan bagi memikat kira-kira 20 juta pelancong asing ke negara ini."Kami yakin bahawa 2007 akan berupaya menarik kunjungan pelancong, lebih-lebih lagi memandangkan satu dekad sudah berlalu sejak kempen seperti itu dilaksanakan. Sebelum ini, Tahun Melawat Malaysia diisytiharkan pada 1994 dan sebelum itu pada 1990," katanya.

Beliau berkata sebelum pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2007, kementerian memulakan program yang dinamakan "Malaysia Welcomes The World", sebuah program persediaan bagi tahun Melawat Malaysia 2007 bagi mempertingkatkan sikap ramah tamah di kalangan penduduk Malaysia di seluruh negara."Tugas bagi melaksanakan program 'Malaysia Welcomes The World' tidak terletak di bahu Kementerian Pelancongan semata-mata. Semua rakyat Malaysia perlu memainkan peranan semasa kita menyambut ketibaan pelancong dari seluruh dunia pada 2007.

"Kami berharap pada tahun bertuah semasa merayakan jubli emas kemerdekaan negara, rakyat Malaysia akan berbangga dengan pencapaian negara dan menjemput warga dunia ke tempat kita serta menjaga mereka dengan baik," kata Dr Toyad.Terdahulu, orang ramai dihiburkan dengan konsert AmBank Group Gemilang 2006 yang mengemukakan artis seperti Reshmonu, Ruffedge, Zainal Abidin, M. Nasir, Ezlynn, Winnie Kok, Manivanan dan Teh Tarik Crew serta beberapa artis popular lain.Pengiraan detik menjelang tahun baru itu disusuli dengan pertunjukan bunga api selama lapan minit.